BUTTERWORTH – Polis menyerbu sebuah pangsapuri di sini awal pagi tadi selepas dikesan dijadikan sebagai pusat hiburan haram.
Pangsapuri itu merupakan salah satu daripada tiga buah premis yang diperiksa sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (D7) dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerusi Ops Aidilfitri dan Ops Noda Bersepadu (Pusat Hiburan) bermula pukul 11.50 malam hingga 3.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis SPU, Noorzainy Mohd. Noor, dalam serbuan di pangsapuri itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga Thailand berusia antara 21 hingga 32 tahun.
Kata beliau, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan seperti monitor; pembesar suara, mikrofon tanpa wayar, unit amplifier dan enam keping resit jualan minuman keras serta sejumlah wang tunai.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1953; Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










