LONDON – Tawaran gaji mencecah £303,000 (RM1.6 juta) seminggu daripada kelab China, Guangzhou Evergrande mungkin mampu memujuk penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang untuk meninggalkan The Gunners pada jendela perpindahan kali ini.
Bagaimanapun, The Gunners tidak akan melepaskan dengan mudah aset paling bernilai itu memandangkan sudah lama menanti penyerang yang memiliki sentuhan berbisa seperti Aubameyang selepas ketiadaan legenda, Thierry Henry.
Penyerang antarabangsa Gabon itu mengharungi musim cukup cemerlang pada kempen 2018/19 apabila merangkul Anugerah Kasut Emas Liga Perdana England (EPL) dengan meledak 22 gol.
Aksi cemerlang ditampilkan Aubame-yang nyata menarik minat beberapa kelab pada saingan Liga Super China (CSL) yang sedia mengeluarkan dana besar bagi mendapatkan bekas pemain Borussia Dortmund itu.
Aubameyang juga mungkin berada dalam dilema memandangkan The Gunners sedia membayar bonus sebanyak £3.7 juta (RM19.6 juta) kepadanya jika dia memilih untuk terus berada di Stadium Emirates.
Sekiranya dia membuat keputusan berhijrah ke China, Aubameyang akan menjadi salah seorang pemain yang menerima gaji paling mahal di dunia, namun Arsenal akan melakukan segala-galanya bagi menghalang perkara tersebut berlaku.
Selain itu, beberapa kelab turut menunjukkan minat terhadap seorang lagi penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette dan ia nyata merisaukan Arsenal memandangkan mereka tidak memiliki pemain yang mampu mengisi kekosongan dua pemain berkenaan. – Agensi











