IPOH – Syarikat pemaju hartanah bumiputera, Proaktif SS Development Sdn. Bhd. menawarkan pembeli rumah pertama serta mereka yang berkelayakan untuk memiliki kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)@Residensi Sungai Raia di sini.
Terletak di kawasan strategik berhampiran jalan utama Simpang Pulai-Lumut dan Jalan Ipoh-Gopeng, projek itu yang memiliki nilai pembangunan kasar RM92.2 juta dijangka siap pada Mei 2020.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Abdul Hamid berkata, projek itu yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Ipoh terdiri daripada rumah teres dua tingkat dan bangunan kedai di tapak seluas 12 hektar.
“Fokus utama kami ialah mengetengahkan kediaman berkualiti yang mempunyai keluasan lantai 154 meter persegi dengan harga mampu milik, bermula daripada RM185,000 sehingga RM298,000 setelah ditolak rebat.
“Sebanyak tiga jenis reka bentuk ditawarkan dengan keluasan yang sama mengikut cita rasa pembeli dengan setiap unit memiliki empat bilik tidur dan tiga bilik mandi.
“Kami menyasarkan pembeli daripada golongan berkeluarga termasuk pasangan muda yang merancang memiliki kediaman bersesuaian di lokasi yang strategik,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, selepas siap kelak projek Prima@Residensi Sungai Raia bakal menawarkan pelbagai kemudahan lain seperti surau, taman permainan dan kawasan komersial.
Katanya lagi, kawasan Sungai Raia memiliki potensi ekonomi yang baik kepada pembeli berikutan kedudukannya yang boleh diakses menerusi Lebuh Raya Utara Selatan mengikut susur keluar Tol Simpang Pulai.
“Ketika ini proses pembinaan telah berjalan hampir 80 peratus manakala kira-kira 45 peratus daripada kediaman telah dibeli,” ujarnya.
Pembeli yang berminat boleh menghubungi pihak pemaju menerusi talian 05-3571 237 atau 05-3131 800 bagi mendapatkan keterangan lanjut.










