“Rasa kosong memang ada dan saya tidak boleh tipu tentang hal itu. Cuma selepas tiga tahun beraya tanpa pasangan, saya jadi terbiasa meraikan Syawal sendirian,” lentur bicara Ezlynn saat meleraikan makna sambutan Aidilfitri sejak menjanda tiga tahun lalu.
Mengimbas kali pertama beraya tanpa suami di sisi, impak kekosongan memang sangat berbekas di jiwa Ezlynn memandangkan selama ini, hidupnya sentiasa berteman biarpun adakalanya seorang ke hilir dan seorang lagi ke hulu.
“Rumah keluarga bekas suami di Cheras, Kuala Lumpur sahaja, manakala keluarga saya di Setapak. Oleh sebab itulah, saya tidak kisah pun kalau kadang-kadang dia tidak ikut beraya,” ujar penyanyi lagu Hai Hai Bye Bye itu ringkas.
Perbualan sepanjang pertemuan bersama Ezlynn kemudian dibawa beralih tentang rutin sambutan raya saban tahun di rumah keluarganya.
Biarpun sambutannya sudah tidak terlalu mengujakan seperti tahun-tahun sebelumnya, penyanyi berusia 38 tahun itu tetap bersyukur kerana masih memiliki keluarga untuk dihargai.
Kata Ezlynn, kemeriahan raya dirinya kali ini diserikan dengan kehadiran sembilan orang anak buahnya yang membuatkan hidupnya sedikit terisi memandangkan sepanjang perkahwinan dengan bekas suami, mereka tidak dikurniakan zuriat.
“Keterujaan raya memang tiada, cuma anak-anak buah sahajalah yang memeriahkan raya saya. Bagi saya, hidup orang dewasa kurang bermakna kalau tiada anak. Anak-anak yang menyuntik kemeriahan raya. Ibu bapa akan teruja menyediakan baju raya yang comel-comel untuk mereka.
“Sebab itu, setiap tahun peruntukan raya saya banyak dihabiskan untuk anak-anak buah. Jumlah duit raya bergantung kepada berapa hari mereka berpuasa. Tahun lepas saya jahitkan mereka baju tetapi tahun ini saya terlalu sibuk,” ujarnya yang gemar membuat kuih semperit sebagai air tangan wajibnya setiap kali tibanya Lebaran.
Pemandu
Meraikan lebaran dalam skala sederhana, fokus utama Ezlynn adalah untuk melayan dan memenuhi permintaan keluarga terutama ibu tersayang.
Kongsinya, setiap tahun dia berperanan selaku pemandu rasmi kepada ibunya untuk beraya di rumah saudara-mara.
“Tahun ini, kami memang sangat sederhana sebab ibu malas memasak. Ibu mahu berehat dan ambil giliran beraya di rumah adik-beradik dia pula. Setiap tahun memang menjadi tugas saya untuk memandu kereta dan bawa dia berjalan-jalan,” katanya.
Biarpun sambutan raya diraikan secara sederhana, tetapi keluarganya tidak pernah melupakan tradisi menghidangkan makanan wajib kegemaran.
“Saya paling suka makan nasi impit dan kuah kacang. Lemang pun memang jadi kegemaran tetapi disebabkan saya semput, tak boleh makan terlalu banyak.
“Juadah lain yang paling ditunggu ialah lontong dan ayam masak pedas kicap Indonesia. Itu memang air tangan wajib ibu. Sebab dia malas memasak tahun ini, saya mesti cari menu itu di rumah ibu saudara yang lain tatkala mengunjungi rumah terbuka sepanjang Syawal ini,” ujarnya sambil ketawa.
Kedekut
Kembali menyelinap ke ruang peribadinya, tempoh tiga tahun hidup bersendirian sebenarnya cukup menduga buat Ezlynn.
Setiap urusan kerjaya yang selama ini diuruskan oleh bekas suaminya, Adam Fahmi kini harus dilakukannya sendiri.
Perasaan sunyi juga kerap mengetuk pintu hatinya.
Namun, Ezlynn enggan menjadikan alasan sunyi untuk segera mencari pengganti. Prinsipnya kini mahu lebih berhati-hati dalam soal cinta.
Apatah lagi, memori pedih dianiaya bekas suami tersimpan kemas dalam ingatan sehingga membuatkan mengubah dirinya menjadi semakin ‘kedekut’.
“Kalau ikutkan, sekarang saya tidak perlu lagi bekerja keras andainya dia pandai mengurus hal kewangan saya. Tetapi, sebab dia tidak menguruskan dengan baik, inilah jadinya.
“Cuma secara jujurnya, saya tidak meletakkan semua kesalahan kepadanya. Dahulu pun saya tidak pernah bertanya tentang hal kewangan, sehinggakan dia leka dan akhirnya buat silap.
“Jadi dalam soal cinta dan lelaki, serik itu tidak pernah ada tetapi sekarang saya jadi makin kedekut.
“Untuk menyerahkan sekali lagi segala-galanya kepada pasangan, itu tidak mungkin akan berlaku sebab saya enggan ulangi kesilapan lampau,” ujarnya yang banyak belajar untuk menjadi seorang yang berani selepas kejadian ditipu bekas suami sendiri.











