PADA 27 Mei lalu, negara kehilangan satu-satunya spesies Badak Sumbu Sumatera jantan yang terakhir di Sabah. Tam dikatakan ‘pergi’ membawa bersama seluruh harapan untuk melihat spesiesnya kembali merayau di hutan Malaysia.
Tam dilaporkan mati sekitar jam 12.00 tengah hari pada hari tersebut. Hari-hari terakhirnya ditemani ahli pasukan Borneo Rhino Alliance (BORA) di bawah pimpinan Dr. Zainal Zahari Zainudin bertempat di Santuari Badak Sumbu Borneo, Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah.
Genom Tam masih hidup, telah pun disimpan dalam bentuk sel kultur untuk tujuan kajian di masa-masa akan datang. Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah,

Chirstina Liew, genetik Tam yang disimpan itu diharap dapat digunakan untuk kesinambungan spesiesnya di masa hadapan apabila munculnya teknologi di peringkat sel dan molekul kelak.
Kematian satu-satunya Badak Sumbu Sumatera jantan negara ini mendapat liputan meluas, namun apalah maknanya kerana keseluruhan spesies berkenaan telah pupus selama-lamanya. Mungkin ramai yang tidak mengambil pusing, perhatian kita terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan haiwan-haiwan liar di ambang kepupusan kritikal juga amat kurang.
Ketika Tam ditemukan di ladang kelapa Sawit Kretam, Tawau pada Ogos 2008, usianya telah pun menginjak 20an, ia sudah pun cukup tua ketika itu, kini Tam mati pada usia 35 tahun dan merupakan usia yang sangat tua bagi Badak Sumbu Sumatera.
Kini yang tinggal hanyalah Iman, satu-satunya Badak Sumbu Sumatera betina, lewat 20an umurnya dan turut mengalami pelbagai masalah kesihatan. Ia memiliki ketumbuhan di dalam organ pembiakan. Kini tumpuan dihala kepada kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam mengembalikan spesies ini semula menerusi telur yang diperoleh dari Iman dan sperma dari Badak Sumbu Sumatera jantan milik Indonesia. Pun begitu segalanya bergantung kepada kerjasama ke dua-dua belah negara serta ketentuan Tuhan.
Sebenarnya, selain Badak Sumbu Sumatera, Malaysia telah pun kehilangan sebilangan besar hidupan liar, mereka telah pun pupus buat selama-lamanya tanpa kita sedari.
Ketika bertanya kepada Presiden Persatuan Pencinta Alam (MNS), Dr. Ahmad Ismail, berhubung kematian Tam, katanya tiada apa lagi yang boleh dilakukan, haiwan tersebut telah pupus dan tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Sebaliknya, kata Dr. Ahmad, apa yang boleh kita lakukan pada masa kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan spesies hidupan liar terancam yang masih tersisa kini seperti Harimau Belang, Tapir, Orang Utan, Kancil dan pelbagai lagi. Selamatkan habitatnya maka selamatlah mereka.










