Suspek curi dua beg wanita di masjid berjaya dicekup - Utusan Malaysia

Suspek curi dua beg wanita di masjid berjaya dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 12 Jun – Tidak sampai 24 jam selepas terima aduan, polis daerah ini berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan suspek dalam kes curi dua beg tangan wanita di Masjid Mukim Binjai di sini awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, suspek berusia 16 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Binjai pukul 10.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman setelah menerima maklumat daripada orang ramai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi semalam ketika mangsa dan beberapa jemaah yang lain sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan, muncul seorang suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an telah mengambil dua beg tangan milik jemaah wanita lalu melarikan diri sebelum jemaah selesai solat subuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Mohd. Haki, bertindak atas laporan yang dibuat oleh pengadu pada pukul 8.29 pagi, pihaknya berjaya menahan suspek terbabit di rumahnya pagi ini.

“Hasil tangkapan tersebut, pihak polis berjaya merampas empat pasport (milik pengadu dan anak), satu beg tangan serta sebuah telefon bimbit jenama iMobile.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 15 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini.

Sehubungan itu, Mohd. Haki menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan harta benda walaupun ketika mengerjakan solat bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya penjenayah tersebut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kemaman yang beroperasi 24 jam di talian 09-8592222,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini