KUALA LUMPUR – Selepas mengangkat ‘bendera putih’ pada aksi pertama, malah mempersoalkan sikap profesional pasukan bimbingannya menjelang aksi kedua playoff kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 akhirnya pengendali Timor Leste, Norio Tsukitate berpuas hati dengan semangat juang pemainnya.
Biarpun tewas 1-5 dalam aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi namun ketua jurulatih dari Jepun itu tetap gembira dengan prestasi dipamerkan anak buahnya dan menyifatkan pasukannya menunjukkan peningkatan.
Tambahnya, kurang berpengalaman dan gemuruh merupakan faktor utama pemainnya gagal memberi saingan sengit kepada Malaysia.
“Babak pertama pemain sedikit gemuruh, dan kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa menyaksikan kami gagal menandingi pasukan Malaysia.
“Apabila berjaya memenangi bola, pemain gagal menguasainya dan melakukan banyak kesilapan. Pasukan Malaysia pula terus menjaringkan gol tetapi malam ini, pemain-pemain telah melakukan yang terbaik dan saya gembira dengan semangat ditampilkan mereka.
“Dalam bola sepak ada menang dan kalah, kali ini kami tewas dan saya harap pada masa akan datang kami akan melakar kemenangan ke atas Malaysia.
“Untuk berjaya pada masa akan datang pemain perlu lebih berkeyakinan tinggi, bertenang dan meningkatkan kemahiran bola sepak dari pelbagai aspek,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan kedua playoff menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 5-1.
Ditanya tentang tumpuan seterusnya buat Timor Leste, Tsukitate berkata, selepas ini dia akan mempersiapkan pasukan bawah 23 tahun bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina November nanti.
“Selepas ini saya akan membentuk pasukan bawah 23 tahun bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











