KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita negara perlu melepasi cabaran Perancis dalam perlawanan kalah mati esok sebelum mengesahkan tempat di separuh akhir Siri Akhir FIH menentang Korea Selatan.
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, dia sudah menjangkakan Malaysian Tigress akan menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua dan hanya memerlukan keputusan seri dalam perlawanan terakhir semalam.
Bagaimanapun, aksi menentang Perancis bukan sesuatu yang mudah kerana mereka merupakan pasukan ranking kedua tercorot dalam kejohanan itu tetapi berjaya melakar kejutan ke aksi kalah mati.
“Ketika ini Perancis menunjukkan peningkatan luar biasa dan ini adalah pasukan yang sedang melakukan persiapan untuk aksi Sukan Olimpik 2024.
“Pasukan ini sama sekali tidak boleh dipandang mudah, jangan lihat kejayaan ke atas Singapura dan Republik Czech kerana semua itu sudah tidak penting. Sekarang ini fokus adalah kepada Perancis.
“Seandainya kita menang aksi kalah mati ini, kita akan bertemu Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan A semalam, Malaysia meraih kemenangan 3-1 ke atas Republik Czech di Kelab Hoki Banbridge, Ireland.
Muhammad Dharma mengakui aksi menentang Perancis selepas ini bukan mudah dan setiap pemain sudah pasti berada dalam keadaan tertekan kerana mahu layak ke saingan separuh akhir.
“Sekarang paling utama adalah aksi kalah mati, kita perlu bersedia untuk aksi masa penuh seandainya berlanjutan ke penentuan penalti, pemain perlu bersedia.
“Jadi, pemain perlu tenang dan fokus untuk perlawanan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











