Pencemaran : Terengganu ambil langkah serius - Utusan Malaysia

Pencemaran : Terengganu ambil langkah serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 12 Jun – Terengganu melalui agensi-agensi di bawahnya dan kerajaan Persekutuan sedang mengenal pasti mana-mana kawasan di negeri ini yang berisiko diancam pencemaran.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu diambil bagi memastikan krisis kesihatan yang menimpa penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Kelantan ketika ini di samping pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor pada Mac lalu tidak berlaku di sini.

“Sebab itu saya minta semua agensi di bawah kerajaan negeri dan di Pusat untuk membantu kita mengesan kawasan yang berisiko tercemar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun dalam Mesyuarat Air Negara beberapa bulan lalu kita mendapat laporan keadaan pencemaran di Terengganu terkawal dan jauh lebih baik daripada negeri lain tetapi langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan suasana baik itu berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratory (Pi Lab) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dalam Pertandingan European Exhibition of Creativity And Innovation (Euroinvent) 2019, Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan agensi penguatkuasaan di negeri ini turut diarahkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan isu pencemaran tidak mengganggu keamanan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan nasib yang menimpa penduduk Orang Asli di Kuala Koh sebagai episod tragis kepada negara ini dan melahirkan rasa dukacita dengan apa yang berlaku.

Akhbar sebelum ini melaporkan orang awam dinasihatkan supaya tidak masuk ke perkampungan Orang Asli itu kerana jangkitan kuman di paru-paru mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika mengumumkan larangan itu berkata, siasatan pihaknya kini menjurus kepada penyakit terbabit, berbanding jangkitan kencing tikus dan tibi yang pernah didakwa sesetengah pihak sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini