JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya merempuh belakang sebuah lori ketika cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan ketika memotong di Jalan Masai Kong-Kong, Pasir Gudang pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Syafiqul Hafiz Salimon, 21, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecedetaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Ismail Dollah berkata, hasil siasatan mendapati penunggang motosikal terbabit menunggang dari arah Cahaya Baru menghala ke Scientex.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa sedang memotong sebuah kereta dan lori. Kemudian terdapat sebuah lori dari arah bertentangan menyebabkan mangsa masuk semula ke laluannya dan hilang kawalan lalu melanggar belakang lori.
“Akibat daripada perlanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit telah terjatuh dan cedera parah bahagian kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, siasatan dijalankan di tempat kejadian mendapati sistem jalan dua lorong dua hala dalam keadaan baik dan aliran lalu lintas ketika itu tidak sesak.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE











