KUALA LUMPUR – Selepas seminggu umat Islam menyambut Aidilfitri mungkin kebanyakkan dalam kalangan warga kota memilih kedai dobi sebagai pilihan alternatif merehatkan diri dengan mencuci pakaian selepas pulang dari kampung halaman.
Jika di kampung terdapat kedai dobi layan diri mungkin itu cara terbaik membasuh pakaian kerana tidak mahu mengganggu keluarga yang ramai menggunakan mesin basuh di kampung.
Namun, ada juga segelintir kampung yang jauh dari pekan tidak mempunyai perkhidmatan tersebut menyebabkan mereka terpaksa menyimpan dan membawanya pulang ke ibu kota untuk dicuci.

Seorang pengusaha kedai Dobi Cempaka, Rosnani Hasnan, 43, berkata, peningkatan jumlah cucian musim perayaan tiga kali ganda berbanding pada hari kebiasaannya.
“Lazimnya kedai dobi hanya membasuh 80 hingga 100 kilogram sehari.

“Berbanding musim perayaan jumlah itu meningkat sebanyak tiga kali ganda terutama pakaian untuk cucian kering,” kataya ketika ditemui Utusan Online di premisnya di Seri Kembangan dekat sini hari ini.
Rosnani yang mengusahakan kedai dobi selama 10 tahun itu turut dibantu dua pekerja.

Jelasnya, perkhidmatan dobi yang ditawarkan dengan harga berpatutan bermula RM 3 untuk satu kilogram manakala untuk cucian tangan bermula RM3 hingga RM 5 bagi sehelai pakaian.

UTUSAN ONLINE / FAISOL MUSTAFA
Selain pakaian dia juga juga banyak menerima penghantaran kain cadar, selimut, karpet dan langsir untuk dicuci.
Rosnani juga menambah, perkhidmatan percuma juga dikekalkan dengan mencuci kolar belakang baju sambil mengekalkan aroma harum serta lipatan kemas bagi menjaga pelanggannya. – UTUSAN ONLINE











