ISLAM secara tegas menolak gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender atau dikenali sebagai LGBT. Tetapi ini tidak bermakna golongan tersebut perlu diperangi atau dibolehkan untuk dilakukan sebarang bentuk tindakan kejam.
Golongan yang secara terang-terangan berani melawan hukum Allah itu juga perlu disantuni termasuk dari segi sokongan material dan kerohanian agar mereka kembali patuh kepada ajaran Islam sebenar.
Namun, dalam usaha menarik golongan tersalah langkah itu kembali ke pangkal jalan, antara strategi berkesan adalah melibatkan komuniti itu sendiri.
Antara yang mengambil tanggungjawab itu adalah pertubuhan bekas LGBT, Hijrah Republique Network (Hijrah) yang banyak mengadakan program bersama Yayasan Ihtiman Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Pengerusinya, Mohd. Al Khusyairi Mohd. Ariff menyifatkan penglibatan mereka cukup penting kerana ia selaras dengan pandangan bahawa hanya komuniti itu sahaja yang faham keadaan mereka.
“Adakah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak tahu latar belakang komuniti itu mampu memahami dan menerima kerenah mereka yang pelbagai.
“Setiap golongan LBGT ada gaya atau cara hidup tersendiri dan untuk gerakan dakwah ia perlu ditangani oleh kalangan komuniti itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program usrah mingguan di Yayasan Ihtiman Malaysia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, baru-baru ini.
Hijrah yang kini memiliki cawangan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menganjurkan pelbagai program agama kepada golongan LGBT termasuk kelas pengajian agama, Kembara Hijrah dan Hijrah Till Jannah.
Justeru, Mohd. Al Khusyairi berkata, beliau bersama rakan-rakannya termasuk dari NGO Islam lain sering mendapatkan maklumat yang betul daripada guru agama bertauliah.
“Malah, kelas pengajian agama dan mengaji al-Quran yang kami adakan setiap minggu dikendalikan oleh guru-guru agama yang memperoleh tauliah dari MAIN,” katanya.
CABARAN DARI DALAM
Turut sependapat ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Insan Permata Disayangi (Pintas), Muhammad Saiful Chua Abdullah yang memfokuskan dakwah pemulihan kepada komuniti gay yang sememangnya sukar untuk dikenali apatah lagi tampil ke kelas-kelas pengajian agama anjuran Pintas.
Beliau berkata, antara sebabnya adalah bimbang hilang kerja, keluarga dan maruah diri walaupun mereka sudah memiliki keinginan untuk kembali kepada Allah.
“Jadi, apa yang kami buat adalah kongsi apa sahaja program, bahan agama dan kelas-kelas pengajian secara santai anjuran Pintas melalui media sosial dengan harapan ada kalangan gay yang berminat.
“Ketika awal penubuhan Pintas, hanya dua tiga orang yang tampil, tetapi kini kami sudah ada sekurang-kurangnya 13 peserta hadir secara kerap dalam mana-mana program atau kelas pengajian agama,” katanya.
Selain kelas mengaji al-Quran dan hadis, Pintas yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengadakan kelas pengajian agama secara santai atau dikenali sebagai Fillow Talk.
Namun, bagi seorang aktivis masyarakat, Mohd. Nasir Abu Bakar, 45, atau dikenali sebagai Amy, persoalan pokok untuk berubah adalah dari hati yang cekal untuk berubah kerana cabaran tidak hanya datang dari komuniti luar, malah juga sesama sendiri.
Justeru, beliau yang aktif bersama Persatuan Insaf Pahang menasihatkan, kesilapan lalu tidak perlu direnungi, tetapi jadikannya sebagai panduan dan pengajaran dalam menempuh kehidupan seharian.
“Kita jangan dengar cakap orang kerana hendak hidup seharian adalah diri sendiri. Hendak berubah, buat sebaik mungkin. Setiap kita ada nafsu dan kesalahan masa lalu, tetapi kenalah belajar daripada kesilapan. Kalau ada yang pandang, buat macam biasa.
“Saya akui masih ada perasaan macam dulu dan sudah banyak kali cuba buang perasaan itu, tetapi tidak boleh. Apa yang saya boleh lakukan adalah terima dengan reda dan berdoa, solat serta berusaha untuk patuh sebaik mungkin perintah Allah,” katanya.
Tambahnya, selain berdepan dengan stigma masyarakat umum yang ‘menetapkan’ LGBT sebagai ahli neraka, cabaran turut datang dari kalangan rakan seangkatan sebelum ini.
“Rakan seangkatan itu akan menganggap kita bukan lagi ‘kawan’ atau tidak lagi setaraf untuk bercampur dengan mereka dan lebih teruk lagi menyamakan kita sebagai haiwan sesumpah.
“Tetapi jika meninggal dunia sempatkah mereka bertaubat kerana dalam kalangan mereka saya yakin ada yang ingin kembali kepada Allah,” katanya.










