HARI Raya Aidilfitri lebih bermakna apabila dapat berkongsi dan meraikannya bersama keluarga dan sanak saudara. Sempena meraikan Syawal tahun ini, The Curve menjemput anak-anak yatim dari Rumah Permata Hatiku untuk bersama-sama menyambut hari raya dengan berlatar belakangkan suasana kampung halaman.
Kesemua tetamu cilik itu disambut oleh pihak pengurusan The Curve setibanya mereka di pusat beli-belah itu. Mereka kemudiannya dibawa masuk ke Centre Court. Anak-anak yatim tersebut terpegun melihat hiasan terperinci dan realistik suasana kampung yang dihasilkan dengan efek cat air.
Dikelilingi pepohon kelapa, tetamu dapat menikmati suasana kampung yang sebenar. Selain itu, kempen tahun ini juga membawakan aspek interaktif dengan permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan ceper disediakan untuk hiburan tetamu cilik.
Anak-anak yatim tersebut tampak sungguh teruja dan seronok mencuba permainan tradisional buat kali pertama.
Seterusnya, bagi acara kemuncak pada petang itu, Muzikal Kenangan Manis dipersembahkan bagi memeriahkan suasana. Penari-penari berbakat menghiburkan tetamu dengan tarian yang didendangkan bersama lagu-lagu hit Melayu klasik.
Tarian tradisional seperti joget dan zapin turut diselitkan dalam persembahan tersebut selain mempamerkan kehidupan harian desa zaman dahulu dan keseronokan beraya di kampung bersama keluarga.
Pengurus Besar Kanan The Curve, Jazmi Kamarudin, berkata, sambutan itu adalah tradisi tahunan pusat beli-belah itu untuk berkongsi rezeki bersama pihak yang lebih memerlukan terutama kanak-kanak pada musim perayaan seperti ini.
“Walaupun perkongsian ini tidaklah sebesar mana, kami percaya ini dapat memberi makna kepada mereka yang hadir dan inilah yang kami ingin sampaikan kepada tetamu undangan.
“Kami berharap mereka menikmati waktu di sini bersama The Curve dan kami amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk bersama anak-anak yatim ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Mega Rona.
Dalam majlis itu, anak-anak yatim serta penjaga mereka menerima cenderamata dan duit raya sebelum dibawa ke Restoran Marhaba untuk menikmati hidangan.










