SHAH ALAM – Seorang penganggur diberkas selepas mempunyai 23 saman tertunggak sejak 2010 dalam Ops Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri di Lebuh Raya Persekutuan di sini hari ini.
Suspek berusia 21 tahun itu juga mempunyai sembilan waran tangkap yang masih aktif sejak 2011.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Sha’riat berkata, penahanan lelaki itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, semakan kemudiannya mendapati suspek mempunyai 23 saman tertunggak dan sembilan waran tangkap.
“Kita turut menyita motosikal digunakan suspek sebelum lelaki itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Selangor untuk pertuduhan tiga waran tangkap di Mahkamah Majistret Kuala Selangor sebelum dibawa ke daerah Klang Utara untuk pertuduhan waran selebihnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, menerusi operasi selama dua jam bermula pukul 7 pagi itu turut mengeluarkan 227 saman kepada 162 penunggang motosikal.
Ujarnya, berdasarkan pecahan mendapati 162 saman atas kesalahan tidak mengikut lorong motosikal disediakan dan selebihnya 65 saman atas pelbagai kesalahan yang lain.
“Operasi kali ini merupakan penguatkuasaan secara menyeluruh kepada penunggang motosikal yang masih berdegil menggunakan laluan lebuh raya dan tidak mengikut lorong motosikal yang disediakan,” katanya. – K! ONLINE











