Bertugas di zon perang semasa Ramadan - Utusan Malaysia

Bertugas di zon perang semasa Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN sudah lebih 15 tahun berlaku, namun kejadian runtuhan banglo di Taman Hillview, Ulu Klang pada 2002 membabitkan kediaman bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Ismail Omar, masih segar dalam ingatan Koperal Rusli Ahmad.

Rusli, 44, berkata, pasukan SMART yang ketika itu ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku dalam bulan Ramadan itu pada waktu subuh.

Katanya, seramai 12 anggota SMART dikerah ke lokasi kejadian dan apabila tiba, didapati lereng bukit setinggi 100 meter di belakang rumah berkenaan runtuh dan meranapkan banglo berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila pasukan SMART ‘turun padang,’ kami akan mengetuai operasi tersebut. Pada ketika itu kami dapati kawasan dapur terjejas teruk dan kami juga dimaklumkan Tan Sri Ismail Omar terperangkap di bawah runtuhan dan telah respon kepada anggota penyelamat.

ANGGOTA SMART menunjukkan demonstrasi menyelamat dari aras tinggi.
ANGGOTA SMART menunjukkan demonstrasi menyelamat dari aras tinggi.

“Setelah lokasi mangsa dikenal pasti, pasukan SMART memulakan kerja memecahkan konkrit dengan peralatan khas selain menggunakan alat pengesan gegaran. Kira-kira pukul 9.30 pagi iaitu selepas empat jam kejadian berlaku, anggota SMART berjaya menarik keluar mangsa (Ismail) yang ditemukan selamat,” katanya kepada Mega Wira, baru-baru ini.

Rusli memberitahu, SMART dihantar ke beberapa negara dan menyertai misi antaranya bencana tsunami di Aceh dan gempa bumi di Sumatera, Indonesia serta tanah runtuh di Nepal.

“Selain itu, SMART juga terlibat dalam misi mencari saki-baki mayat penumpang pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine pada 2014. Operasi tersebut boleh dikatakan penuh dugaan kerana dilakukan pada bulan puasa dan kami hanya pulang ke tanah air dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Operasi di lokasi zon perang sememangnya bukan mudah, tambahan pula kami datang tanpa membawa senjata. Walaupun ada sedikit kerisauan, namun kami tetap menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu Staf Sarjan Abdul Rashid Putit memaklumkan, walaupun pasukan elit berkenaan lebih diperlukan dalam operasi bencana besar yang sering terjadi di luar negara, namun pasukan itu juga akan membantu pasukan penyelamat tempatan sekiranya ia rumit dan memerlukan kepakaran serta peralatan khas.

Menurut Abdul Rashid, 41, yang juga Penyelia Seksyen Latihan SMART, beliau pernah terlibat dalam operasi runtuhan struktur bangunan sebuah pasar raya di Petaling Jaya pada 2009 yang melibatkan tujuh mangsa maut.

“Sebelum kejadian, pekerja warga asing terlibat memulakan kerja meruntuhkan bangunan tersebut untuk pembangunan semula dan apabila memasuki hari ke-20, struktur bangunan tersebut tiba-tiba runtuh pada pukul 5 petang.

“Kami difahamkan runtuhan tersebut berlaku pada waktu rehat. Dalam operasi tersebut, kami menggunakan peralatan khas yang digunakan untuk memotong konkrit dan sebagainya.

“Paling tidak dapat dilupakan, kesemua mangsa yang maut ditemukan dalam keadaan ngeri dengan tubuh yang hancur,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini