KUALA LUMPUR 12 Jun – Saham Xin Hwa Holdings Bhd. turun 0.67 peratus susulan dapatan semakan semula oleh juruaudit luaran yang mendedahkan penyelewengan kewangan.
Pada pukul 10.12 pagi, saham syarikat itu turun setengah sen kepada 74.5 sen sesaham dengan 5,000 lot diniagakan.
Syarikat logistik itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, KPMG Management & Risk Consulting Sdn. Bhd. yang dilantik pada 14 Februari tahun ini telah menjalankan semakan semula bebas susulan dakwaan penyelewengan dalam beberapa urus niaga dan pembayaran syarikat itu.
Katanya, semakan itu telah selesai dan dapatannya diserahkan kepada Lembaga Pengarah.
Dapatan itu mendapati sejak dua tahun lepas dana syarikat telah digunakan untuk tujuan perbelanjaan peribadi.
Ia juga mendapati tiga daripada lapan dakwaan itu berasas atau dapat dibuktikan.
Menurut KPMG, semakan semula itu juga mendedahkan pembayaran dividen anak syarikat Xin Hwa dibayar kepada pihak ketiga dan bukannya pemegang saham berdaftar tetapi perancangan itu adalah bertujuan untuk melunaskan hutang peribadi dengan arahan daripada pemegang saham berdaftar. – BERNAMA











