KEMAMAN – Suspek kes curi dua beg tangan jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Binjai di sini semalam berjaya ditahan kira-kira lima jam selepas kejadian.
Remaja berusia 16 tahun yang disyaki melakukan perbuatan jenayah itu telah ditahan di rumahnya di Kampung Binjai di sini pada pukul 10.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan menerusi analisis rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) masjid itu telah dilakukan sejurus menerima laporan berhubung kes kecurian tersebut pada pukul 8.29 pagi semalam.
“Rumah suspek telah diserbu sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini selepas identiti dia telah dikenal pasti dengan bantuan orang awam.
“Serbuan di rumah tersebut turut menemui sebahagian barangan milik mangsa seperti empat pasport antarabangsa, sebuah beg tangan dan sebuah telefon pintar jenama iMobile,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan perbuatan remaja itu melarikan dua beg tangan milik jemaah wanita terbabit telah dirakam oleh CCTV yang dipasang pengurusan Masjid Jamek Binjai. – K! ONLINE











