SEBERANG PERAI – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengutuk budaya politik lucah dan fitnah sambil menganggap ia sebagai tindakan tidak bertamadun.
Nurul Izzah berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjauhkan diri daripada terjebak kepada budaya sebegitu yang dilihat sebagai menjengkelkan.
“Fokus kita adalah kepada usaha bagi membina Malaysia yang lebih baik.
“Cara berpolitik masyarakat bertamadun adalah dengan mengangkat wacana, idea, polisi serta dasar, bukannya serangan peribadi dan pembunuhan karakter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, media seharusnya mengutamakan berita-berita berkaitan isu dan usaha penting dalam menangani masalah rakyat berbanding isu politik kotor.
“Liputan media terhadap serangan peribadi dan fitnah tidak mempunyai objektif lain selain mencemar nama dan karakter individu, mengakhiri kerjaya politik, menjatuhkan maruah dan reputasi mangsa.
“Sudah sekian lama kita dimualkan dengan permainan politik lucah dan fitnah. Demi generasi masa hadapan, hentikanlah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang menjadi mangsa politik (lucah).
“Kesan negatif fitnah kotor tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana ia memberi kesan mendalam kepada semua yang terlibat, terutama terhadap keluarga mangsa.
“Saya berharap keluarga (mangsa politik lucah dan fitnah) terus bersabar,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian berhubung kontroversi video intim sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri dan tular di media sosial sejak semalam – K! ONLINE











