KUALA LUMPUR – Individu yang mengaku sebagai antara individu dalam video seks membabitkan wajah mirip kepada menteri Kabinet boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang syariah atau undang-undang sivil.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, berdasarkan pengakuan dibuat individu bernama Haziq Abdul Aziz, terdapat dua kesalahan yang dikenal pasti.
“Di bawah undang-undang syariah, kesalahan pertama adalah kesalahan liwat manakala dibawah undang-undang sivil, ia dianggap persetubuhan bertentangan tabii yang tidak wajar.
“Bagaimanapun, di bawah prinsip undang-undang, orang itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang sama di dua mahkamah berasingan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, jika seseorang itu dituduh di mahkamah sivil, maka dia tidak boleh dikenakan di mahkamah syariah dan begitu juga sebaliknya.
Tambah Zainul Rijal, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan polis juga perlu menerima laporan terlebih dahulu untuk mendakwa individu terbabit.
Di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan, seorang tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan manakala di bawah Seksyen 82 Enakmen Jenayah Syariah Sabah 1995, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Beliau mengulas isu penularan video seks meilbatkan pemimpin politik dengan seorang daripadanya mirip seorang menteri Kabinet semalam dan pengakuan seorang lelaki bernama Haziq Abdul Aziz mengaku bahawa dia terlibat dalam aksi tersebut. – UTUSAN ONLINE











