KUALA LUMPUR – Kepemimpinan tertinggi PKR dijangka membincangkan mengenai kontroversi video seks songsang didakwa melibatkan individu yang mirip seorang menteri kanan Kabinet dan seorang pemuda dalam mesyuarat yang akan diadakan hari ini.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, isu video seks songsang itu bukan merupakan agenda utama akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Mesyuarat Biro Politik PKR dijangka bermula 6 petang ini di Ibu pejabat PKR. Isu ini mungkin antara yang akan dibincangkan kerana ia baru saja berlaku dan hangat diperkatakan.
“Jadi, kemungkinan untuk bincang itu ada,” jelas laporan portal itu, hari ini.
Semalam, beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri kanan.
Hari ini, satu video dimuat naik seorang pemuda awal pagi tadi yang membuat pengakuan dirinya merupakan seorang daripada lelaki dalam video tersebut dan mendakwa seorang lagi lelaki adalah menteri berkenaan. – UTUSAN ONLINE











