PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berpandangan, pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu pendakwah bebas, Dr. Zakir Naik wajib dipertahankan oleh segenap lapisan masyarakat.
Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tekanan yang berterusan diambil oleh pihak berkuasa ke atas Zakir sejak 2017 adalah satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia yang amat dikesali.
Tambahan pula, kata beliau, kesemua pertuduhan ke atas pendakwah tersebut masih belum dibuktikan bahkan terdapat beberapa cubaan pertuduhan telahpun digugurkan oleh mahkamah.
“Atas semangat Hari Raya Aidilfitri, Yadim menyeru agar prinsip Natural Justice (Keadilan Asasi) diberikan kepada beliau yang telah menyatakan kesediaan untuk dibicarakan sekiranya diberi jaminan keselamatan dan keadilan.
“Yadim meyakini maksim seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya adalah sesuatu yang wajar dihayati dan dipertahankan oleh semua pihak yang menjunjung tinggi konsep kedaulatan undang-undang dan kerahmatan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nik Omar, prinsip menjamin keadilan adalah satu daripada teras Maqasid Syariah yang telah diberi penekanan sama ada secara langsung seperti yang dinukilkan oleh Allamah Ibn Asyur atau tidak langsung seperti Jasser Auda.
Jelas beliau, jaminan keadilan bagi Islam adalah suatu teras yang wajib dipertahankan sungguhpun kepada bukan Islam.
“Ini kerana konsep rahmat dalam Islam jauh melangkaui sempadan agama, bangsa dan negara.
“Justeru atas sifat keadilan, hak asasi manusia dan integriti perundangan yang menjadi antara teras kepada konsep rahmat dalam Islam, Yadim berpandangan pendirian Perdana Menteri dalam isu Dr. Zakir Naik wajib dipertahankan oleh segenap lapisan masyarakat, “ katanya.
Dr. Mahathir dalam satu program di Melaka, baru-baru ini dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir sekiranya beliau tidak akan diberikan keadilan sewajarnya.
Perdana Menteri menegaskan situasi tersebut sama seperti tindakan kerajaan Australia sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati mandatori pada 2015 atas tuduhan membunuh seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu. – UTUSAN ONLINE











