GP Kanada: Hamilton menang dalam kontroversi - Utusan Malaysia

GP Kanada: Hamilton menang dalam kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL – Lewis Hamilton boleh dianggap dihadiahkan kejuaraan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Kanada yang tidak disangka selepas kemenangan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dibatalkan akibat dikenakan penalti di saat akhir.

Pelumba Mercedes itu hanya mampu menduduki tempat kedua ketika semua pelumba tiba di garisan penamat tetapi keputusan steward perlumbaan mengenakan lima saat penalti telah merompak kemenangan Vettel dengan penuh kontroversi.

Vettel yang berasal dari Jerman dikenakan penalti kerana didakwa melakukan kesalahan ketika cuba memintas Hamilton pada pusingan ke-50 perlumbaan secara tidak bermoral sehingga menyebabkan pelumba Britain itu terbabas ke bahu trek yang berumput dan hampir melanggar dinding keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Macam mana lagi saya boleh memintas? Mereka jelas telah merompak kemenangan daripada kami. Tidak, tidak, ini bukan caranya,” protes Vettel selepas perlumbaan.

Bagi Hamilton pula, ketika insiden berlaku, dia mampu memintas Vettel semula jika tiada dinding keselamatan yang menjadi penghalang.

“Bagaimanapun saya mengambil keputusan untuk mengalah dan membiarkan dia memintas manakala saya hanya sempat membrek untuk menyelamatkan keadaan,” tegasnya.

Berikutan keputusan yang memihak kepada Hamilton, Vettel pada awalnya enggan ditemuramah dan terus bergegas ke bilik kenderaan bermotor Ferrari namun selepas dipujuk pengurusan pasukan, dia kembali menaiki podium untuk upacara penyampaian hadiah.

Sikap profesional Vettel itu jelas mendapat pujian malah ketika Hamilton diejek penyokong Ferrari, pelumba Jerman itu meminta jangan berbuat demikian kerana mendakwa pesaingnya itu tidak bersalah sebaliknya keputusan yang dibuat itu yang salah.

Ini merupakan kejuaraan ketujuh berjaya diraih Hamilton di GP Kanada dan yang ke-78 dalam kariernya sekaligus melebarkan penguasaan Mercedes kepada tujuh kemenangan musim ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini