PUTRAJAYA – Sebanyak 200 kes direkodkan di seluruh negara setakat ini sepanjang berlangsungnya Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) bagi tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang bermula sejak 21 Mei lalu.
Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan pelbagai kesalahan antaranya gagal guna tanda harga khas, tiada tanda harga dan menjual melebihi harga maksimum.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 193 kes dicatatkan di bawah SHMMP Hari Raya Aidilfitri dengan membabitkan pecahan 165 kes iaitu gagal guna tanda harga khas, tiada tanda harga (23 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (lima kes).
“Ia adalah daripada hasil pemeriksaaan yang dilakukan pasukan penguatkuasaan kementerian terhadap 40,500 premis. Selain itu, rampasan berjumlah RM20,258 manakala kompaun bernilai RM23,585 telah dikenakan ke atas peniaga yang ingkar mematuhi peraturan ditetapkan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak lima dan dua kes masing-masing direkodkan di bawah SHMMP bagi dua perayaan lain iaitu Pesta Kamaatan dan Hari Gawai.
“Para peniaga adalah diwajibkan meletakkan label berwarna merah jambu bagi barang harga terkawal sahaja di samping menunjukkan harga setiap unit, perihal dan gred atau kualiti barang berkenaan. Malah mereka tidak boleh menjual barang tersebut melebihi harga maksimum ditentukan di samping memastikan bekalan barang harga terkawal yang dijual mencukupi.
“Tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan terhadap pihak yang didapati menaikkan harga sepanjang tempoh perlaksanaan tersebut,” tambah kenyataan itu.
KPDNHEP sebelum ini menyenaraikan 27 jenis barangan di bawah SHMMP sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan selama 30 hari bermula 21 Mei hingga 19 Jun depan.
Enam daripadanya merupakan barangan baharu yang disenaraikan dalam SHMMP iaitu cili kering, kacang panjang, kacang tanah, ikan segar beku kembung, selar dan selayang.
Antara barangan lain yang turut disenaraikan dalam skim tersebut adalah ayam (hidup, standard, super), telur ayam (gred A, B, C), daging lembu (tempatan, import), daging kerbau import (India), kobis bulat import, kelapa parut dan bawang (merah kecil India, besar import).
SHMMP Pesta Kaamatan pula bermula 23 Mei hingga 5 Jun dan SHMMP Hari Gawai bermula 25 Mei selama 14 hari. -UTUSAN ONLINE











