PORTO – Portugal meraih kejuaraan Eropah kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menjuarai Liga Negara Negara Eropah awal hari ini dengan menewaskan Belanda 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di laman sendiri.
Selepas menjuarai Euro 2016, Cristiano Ronaldo sekali lagi mengetuai barisan mantap Portugal walaupun agak tenggelam dan tidak menjaringkan gol dalam perlawanan kali ini berikutan dikawal ketat dua pertahanan Belanda, Virgil van Dijk dan Matthijs de Light.
Namun tenggelamnya kelibat Ronaldo telah memberi peluang kepada Goncalo Guedes muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan dan tunggal perlawanan pada minit ke-60 selepas kedua-dua pasukan buntu menggegar jaring.
“Terima kasih kepada tuhan kerana semuanya berjalan lancar dalam skuad kebangsaan kami sejak beberapa tahun ini. Portugal sudah mula memenangi kejohanan penting seperti Euro 2016 dan terbaharu, Liga Negara Negara Eropah pula.
“Mungkin ia seperti nampak mudah tetapi sebenarnya sukar buat kami. Ia menagih banyak dedikasi dan keikhlasan kami. Saya rasa pemain kami berhak diberi ucapan tahniah,” kata Ronaldo selepas perlawanan.
Bagi jurulatih Belanda, Ronald Koeman, beliau tidak tahu faktor keletihan menjejaskan prestasi pasukannya selepas musim liga yang panjang dan perlawanan separuh akhir yang suntuk ketika menentang England.
“Saya kurang pasti faktor keletihan menjadi punca tetapi kami belum cukup bagus untuk aksi final. Lawan kami bertahan dengan baik dan kompak dalam permainan. Kami pula tidak dapat mengawal bola dengan lebih baik,” kata Koeman.
Dengan benteng ampuh Belanda bermain dengan baik, ia langsung tidak memberi peluang buat barisan serangan Portugal menyinar sebaliknya ancaman bahaya lebih banyak digerakkan daripada bahagian tengah padang yang diketuai Bernardo Silva.
Silva adalah penggerak kepada gol kemenangan Portugal apabila lariannya menyebabkan benteng Belanda kelam kabut dan terbuka sebelum melakukan hantaran kepada Guedes yang mudah menyepak deras melepasi jangkauan penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen. – AFP











