GUA MUSANG – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mendapati sebuah syarikat bijih besi di kawasan Kuala Koh beroperasi secara haram selepas lesennya tamat pada tahun 2017.
Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bagaimanapun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung syarikat itu sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata, pihaknya meninjau keseluruhan kawasan Kuala Koh selepas wujud dakwaan sumber air yang digunakan oleh penduduk Orang Asli suku kaum Batek yang tinggal di situ telah menjadi punca kepada krisis kesihatan sehingga meragut 14 nyawa.
“Kita bukan nak menuding jari dan mencari salah sesiapa. Kita akan melakukan siasatan melibatkan pelbagai agensi kerajaan lain demi kepentingan kaum minoriti.
“Kita tidak boleh memandang ringan dakwaan penduduk Orang Asli bahawa kira-kira sudah berlaku 14 kematian di kawasan mereka,” katanya selepas meninjau kawasan Kuala Koh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Sementara itu, Shariffa Sabrina berkata, pihaknya berharap agensi berkaitan dapat bertindak segera menyelesaikan masalah yang mengancam nyawa Orang Asli dengan segera.
Katanya, tindakan itu termasuklah memindahkan penduduk ke lokasi selamat.
“Kita melihat ramai kanak-kanak yang sakit dan persekitaran tempat tinggal mereka juga sungguh kotor.
“Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan jabatan tertentu harus pindahkan semua penduduk kerana keadaan mereka agak teruk ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











