KOTA BHARU – Sebanyak 14 penduduk Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan dan radang paru-paru atau Pneumonia sejak 2 Mei sehingga kelmarin.
Bagaimanapun hanya dua disahkan mati akibat jangkitan tersebut berdasarkan bedah siasat manakala selebihnya telah dikebumikan di sempadan hutan sempadan Kelantan-Pahang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, tiada komunikasi di antara penduduk di dalam hutan dengan penghulu dan polis disebabkan kerana jarak perjalanan penempatan yang jauh di dalam hutan menyebabkan kematian 12 penduduk Orang Asli sejak 2 Mei lalu tidak diketahui.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut juga seramai 83 orang disahkan dijangkiti radang paru-paru termasuk seorang wanita dan kanak-kanak berada dalam keadaan kritikal.
“Wanita berusia 36 tahun ini dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK) manakala kanak-kanak berusia tiga tahun dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Kedua-dua mereka kritikal.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 37 orang dirawat sebagai pesakit luar manakala 32 orang dirawat di Hospital Gua Musang (HGM); 10 orang di HKK dan tiga lagi di Rumah Inap Kesihatan Asli (RIKA).
“Punca sebenar kes ini masih belum diketahui dan siasatan menyuluruh sedang dijalankan, tidak boleh buat spekulasi, punca kematian akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berhubung kejadian tersebut di Cawangan Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin.
Sejak beberapa hari lalu tular di laman sosial sebanyak 13 penduduk Orang Asli suku kaum Batek meinggal dunia akibat penyakit misteri namun pihak polis mengesahkan hanya dua membuat laporan kematian.
Waytha Moorthy berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menangani masalah ini termasuk menjalankan siasatan secara mendalam.
“Pasukan ini merangkumi pakar dan kakitangan jabatan kesihatan, polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi berkaitan.
“Penyakit ini boleh berjangkit. Jabatan Kesihatan menasihatkan mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan kepada 186 orang penduduk Orang Asli suku kaum Batek ini supaya melalui Jakoa bagi mengelakan insiden yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











