KOTA BHARU – Selain takbir raya, suara pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad mengejutkan anak-anak adalah antara yang wajib berkumandang di kediaman mereka di Tumpat setiap kali pagi 1 Syawal menjelma.
Selepas pemergian Faziani yang maut dalam kemalangan di Thailand, 18 Mei lalu, anak sulung arwah, Iqbar Hakim Ahmad Syah Rizal mengakui, pagi 1 Syawal kali ini terasa kekok tanpa laungan ‘lantang’ ibunya, sekali gus menjadikan suasana rumah tersebut suram.
Lebih-lebih lagi apabila ada antara adik-adiknya yang masih kecil belum benar-benar faham erti kematian masih bertanyakan tentang ‘mommy’ mereka.
“Biasanya pagi-pagi lagi, mommy akan pergi dari bilik ke bilik kejutkan kami lapan beradik. Boleh dengar arwah jerit kuat-kuat ‘Raya! Raya!’ dan nampaknya raya kali ini, suara itu sudah tiada.
“Tahun ini bersalam dengan papa seorang sahaja, biasanya papa dan mommy duduk sebelah-sebelah. Tipu jika saya tak rasa sedih dan rindu terhadap mommy tapi sebagai anak sulung, saya kena kuatkan mental demi adik-adik,” katanya.
Iqbar Hakim ditemui ketika Program Kongsi Raya anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Kelantan Creative TV (KCTV), Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Royal Guest House (RGH) dan badan bukan kerajaan (NGO) Nothing To Hide di pasar raya besar Mydin, di sini baru-baru ini.
Dnars Skincare merupakan antara penyumbang Program Kongsi Raya yang merupakan program kebajikan bagi membantu membeli kelengkapan raya seramai 100 asnaf terdiri daripada 18 keluarga miskin di negeri ini.
Iqbar Hakim berkata, dia kini sibuk menguruskan perniagaan keluarga dan antara fokus utama ialah meneruskan semua perancangan terdahulu Allahyarham Faziani termasuk mempopularkan produk Dnars Gold sekali gus mengembalikan kehebatan jenama Dnars Skincare.
Katanya, sebagaimana anak-anak lain, dia juga turut terkesan dengan pemergian secara mengejut ibu mereka, namun ‘pertemuan’ seketika dengan arwah dalam mimpi pada hari kedua selepas kematiannya sedikit sebanyak menguatkan semangat dia.
“Saya mimpi, mommy berdiri di hujung katil, pakai telekung sembahyang putih. Arwah tak keluar sepatah ayat pun, sebaliknya hanya senyum pada saya.
“Bangun dari tidur, rasa saya macam diberi semangat baharu. Saya letak diri di tempat mommy dan fikir kalau dia masih ada, apa dia akan buat. Selepas bincang dengan keluarga, saya nekad kembali ke Kuala Lumpur dan teruskan usaha mommy yang terhenti,” katanya.
Mengulas tentang Kongsi Raya, Iqbar Hakim berkata, penyertaan pihaknya dalam program itu bertujuan memastikan kesemua zakat yang diperuntukkan Allahyarham Faziani dapat diagihkan sepenuhnya kepada asnaf dan golongan memerlukan sebagaimana hasrat arwah.
“Selepas tragedi menimpa mommy, kami giat agihkan baki zakat yang masih ada dan alhamdulillah usaha ini berjaya diselesaikan sebelum Ramadan berlalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











