Setiap kali hari raya, rebutlah peluang untuk menghabiskan masa bersama insan-insan tersayang seperti keluarga. Namun, apa yang tidak sedap didengar, pasti akan timbul isu remaja gemar menghabiskan masa sendiri bermain gajet daripada merapatkan hubungan silaturahim bersama keluarga dan rakan terdekat.
Penyanyi remaja Haqiem Rusli, 20, menegur sikap remaja di luar sana yang lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon atau gajet ketika menyambut Syawal,
Mengakui dia juga seperti remaja lain tidak dapat berpisah dengan gajet, namun dia menetapkan batas tertentu.
“Gajet memang penting pada zaman sekarang. Susah hidup kita tanpanya. Tidak boleh juga meninggalkan terus gajet pada hari raya kerana ia juga satu medium ‘wajib’ untuk kita mengabadikan kenangan manis dalam laman sosial.
“Iyalah, apabila jumpa sesiapa sahaja kita boleh berswafoto, edit dan memuat naik dalam media sosial. Namun, remaja haruslah bijak seimbangkan masa antara bermain gajet dengan keluarga.
“Kepada yang asyik pegang telefon sahaja, janganlah obses gajet sampai lupa silaturahim yang menjadi perkara utama setiap kali raya,” pesan Haqiem.
Kata penyanyi lagu Tergantung Sepi ini, Syawal sepatutnya menjadi hari untuk semua orang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Kesempatan bersama seluruh ahli keluarga hanya datang setahun sekali.
“Begitu juga apabila beraya di rumah orang, jagalah adab dan tinggalkan telefon buat sementara. Dalam agama pun menyuruh kita menghormati orang yang kita ziarahi dengan memberi tumpuan kepada mereka.
“Kepada ibu bapa, janganlah biarkan anak-anak asyik bersama gajet, main mercun atau menonton televisyen. Ini penting agar mereka lebih memahami maksud hari raya itu sendiri.” luah Haqiem yang pulang beraya di kediaman keluarganya di Hulu Langat, Selangor sebelum bercuti ke Genting Highlands.
Hargai ayah
Dalam perkembangan lain, Haqiem Rusli akan muncul dengan lagu baru berentak balada berjudul Lembah Kesepian.
“Sebelum ini saya selalu bawa lagu-lagu cinta kepada kekasih, tetapi kali ini agak berbeza. Saya merakamkan lagu cinta kepada ayah. Lagu ini mengisahkan pengorbanan seorang ayah terhadap anak-anaknya. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai apabila anaknya mula lupa diri.
“Mungkin lebih ramai melihat pengorbanan seorang ibu dan lupa besarnya jasa seorang ayah dalam sesebuah keluarga. Seorang ayah sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat anak-anak gembira walaupun dia tidak pernah mengungkapkannya.
“Saya berharap selepas mendengar lagu Lembah Kesepian, kita semua lebih menghargai seorang ayah selepas ini. Tanpa pengorbanan mereka, siapalah kita hari ini,” Haqiem yang popular dengan lagu Jatuh Bangun dan Segalanya.











