NANTES 3 jun – Perancis menerima suntikan motivasi menjelang kempen kelayakan Eropah 2020 (Euro) apabila menewaskan Bolivia 2-0 dalam aksi persahabatan, semalam.
Thomas Lemar meletakkan Perancis di depan seawal minit kelima sebelum Antoine Griezmann menggandakan jaringan dua minit sebelum rehat.
Jaringan Griezmann membolehkan dia menjadi penjaring kelapan terbanyak Perancis sepanjang zaman selepas meledak 29 gol sekali gus mengatasi pencapaian Youri Djorkaeff yang memenangi Piala Dunia 1998.
Dia kini ketinggalan satu gol di belakang Just Fontaine dan Jean-Pierre Papin dan dua untuk mengatasi pencapaian Zinedine Zidane.
Skuad kendalian Didier Deschamps itu akan turun beraksi dalam perlawanan kompetitif pada 8 Jun ini menentang Turki bagi aksi Kumpulan H dengan kedua-dua pasukan tersebut sudah mengumpul enam mata daripada dua aksi.
“Kami perlukan aksi pemanas badan. Menentang Turki pasti sukar namun kami sudah bersedia. Saya mungkin tidak berada di tahap terbaik. Perlawanan ini memberi elemen positif kepada saya untuk aksi Sabtu ini,” kata Griezmann yang meninggalkan Atletico Madrid pada bulan lalu selepas beraksi lima musim bersama kelab Sepanyol itu. – AFP











