NIOSH sedia bantu PDRM tingkat keselamatan pekerjaan - Utusan Malaysia

NIOSH sedia bantu PDRM tingkat keselamatan pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) warganya termasuk ketika melakukan tugas di jalan raya dan lebuh raya.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, aspek KKP ketika di jalan raya amat penting kerana risiko untuk berlakunya kemalangan termasuk yang boleh meragut nyawa amat besar walaupun disebabkan oleh kesilapan kecil.

Sebagai contoh, katanya, kegagalan memasang kon keselamatan pada jarak selamat boleh menyebabkan kenderaan serta anggota penguat kuasa yang sedang bertugas terdedah kepada risiko dilanggar oleh kenderaan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…
LEE LAM THYE
LEE LAM THYE 

“NIOSH telah pun membangunkan modul latihan induksi KKP yang dikenali sebagai Paspot Keselamatan Operasi Lebuh Raya untuk warga kerja serta kontraktor PLUS Malaysia Bhd. Ia mungkin boleh digunakan untuk membangunkan modul yang sama untuk anggota penguat kuasa yang bertugas di jalan raya dan lebuh raya termasuk anggota polis trafik.

“NIOSH sedia memberi komitmen dan menyumbang kepakaran membantu PDRM dan agensi penguatkuasaan lain melatih pekerja supaya lebih peka pada bahaya dan risiko ketika bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang anggota PDRM, Lans Koperal Mohd. Ishraf Ismail yang maut akibat dirempuh sebuah motosikal dalam kemalangan di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru, Sabtu lalu.

Anggota Unit Kereta Peronda Polis tersebut dan rakan sepasukannya Lans Koperal Muhammad Syakir Safwan Khairudin dirempuh motosikal ketika sedang memeriksa sebuah van pada jam 6.40 pagi.

Mohd. Ishraf, 27, yang juga pemandu kereta peronda meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala manakala Muhammad Syakir, 29, serta penunggang motosikal berusia 36 tahun yang merempuh mereka cedera parah.

Tambah Lam Thye, insiden tersebut menunjukkan betapa warga PDRM sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko dan bahaya terutamanya mereka yang bertugas di lapangan termasuk anggota polis trafik.

“Saya percaya insiden terbaharu ini tidak akan mematahkan semangat warga PDRM meneruskan usaha menjaga keselamatan orang awam dan keamanan negara.

“Semua pihak seharusnya menghargai dan menghormati pengorbanan anggota PDRM yang bertugas tidak kira masa serta sanggup menggadai nyawa ketika bertugas,” ujarnya.

Menurut Lam Thye, para pengguna jalan raya juga perlu sentiasa berhati-hati serta patuh pada undang-undang dan arahan anggota penguatkuasa seperti PDRM setiap masa bagi mengelak berlakunya kemalangan terutamanya ketika musim hujan atau dalam keadaan gelap. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini