Kelengkapan dan pakaian hari raya musnah, keluarga tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Kelengkapan dan pakaian hari raya musnah, keluarga tinggal sehelai sepinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN – Sebuah keluarga yang sudah membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka rentung dalam kebakaran di Kampung Parit Jamal, Benut, dekat sini awal pagi ini.

Tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk pakaian dan kelengkapan bagi menyambut hari raya apabila hangus semuanya dan mereka menerima dugaan besar pada penghujung Ramadan ini.

Menurut mangsa, Eremi Paing, 47, dia sekeluarga menerima kejadian itu dengan penuh reda dan menerima ketentuan Allah ketika umat Islam membuat persiapan untuk menyambut 1 Syawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia bersyukur isteri dan keempat-empat anak perempuannya dapat menyelamat dirikan sebaik sahaja kebakaran berlaku kira-kira pukul 1 pagi ketika mereka nyenyak tidur.

“Isteri, Nur Azwan Rahmat, 42, dan anak-anak Nur Atiqah, 11, Nur Aqila, 9, Nur Alia, 7, dan Amani, 5, tinggal bersama-sama saya di rumah pusaka peninggalan keluarga.

“Dalam kebakaran itu, hanya motosikal dan sebuah kereta dapat diselamatkan kerana kedua-dua kuncinya berada dalam rumah di bahagian dapur.

“Semalam, kami sekeluarga baru sahaja membeli pakaian dan kelengkapan lain untuk anak-anak di sebuah pasar raya di bandar Benut,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Beliau yang berkerja di sebuah kilang di Simpang  Renggam berkata, keluarganya kini menumpang sementara di rumah jiranya di kampung itu dan akan mencari rumah baharu selepas hari raya nanti.

Ditanya mengenai punca kebakaran tersebut, dia hanya menyerahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan.

Orang ramai yang ingin menyumbang bagi meringankan beban mangsa boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 1012 0856 3599 atas nama Eremi Paing atau boleh dihubungi melalui talian 01118533157 atau 0197407660. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini