LANGKAWI – Seramai 28 individu termasuk dua orang wanita ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri selepas dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Pulau Tuba, di sini, semalam.
Dalam operasi di dua lokasi yang dijadikan port melepaskan ketagihan itu, dua daripada mereka ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 17 gram heroin.
Ketua JSJN negeri, Superintenden Helmi Aris berkata, 18 lelaki ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama selepas ujian air kencing menunjukkan mereka positif dadah.
“Lima lagi lelaki ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998, manakala seorang individu pula ditangkap kerana memiliki 14 gram serbuk disyaki ketum.
“Dalam operasi itu, kita turut menahan dua wanita berusia 30-an yang dipercayai sedang menunggu untuk membeli dadah di sarang penagihan tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Helmi berkata, kesemua mereka berusia 20-an hingga 40-an yang kebanyakkan terdiri daripada nelayan di pulau itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Ujar beliau, pihaknya akan terus melakukan operasi di situ, biarpun berdepan kesukaran kerana penduduk mengetahui kehadiran orang luar ekoran kedudukan pulau berkenaan yang terpisah dengan daratan Pulau Langkawi.
“Kita turut meroboh kedua-dua port tersebut iaitu di Kampung Balik Bukit dan Lubuk Cempedak selain melakukan pemantauan dari masa ke semasa bagi membasmi kegiatan tidak bermoral ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











