ARAU – Tiga beradik warga emas yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan terselamat dalam kebakaran rumah di Kampung Titi Besi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa iaitu Halijah Ibrahim, 78; Che Manai, 73, dan Zainah, 67, sempat menjerit meminta tolong sebelum diselamatkan penduduk kampung.
Kejadian menyebabkan tiga beradik itu tinggal sehelai sepinggang.
Salah seorang mangsa, Zainah berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila terasa bahang api selain mendengar bunyi letupan seperti mercun.
“Saya dan dua kakak yang turut berada di dalam rumah kemudian menjerit meminta tolong selepas terasa bahang semakin kuat.
“Nasib baik jeritan kami didengari penduduk kampung yang segera datang, kalau tidak kami pasti terperangkap di dalam rumah yang terbakar ini,” ujarnya sebak.
Katanya, sambutan hari raya kali ini suram kerana semua persiapan termasuk baju raya musnah dalam kebakaran itu.
“Kegembiraan kami tiga beradik untuk menyambut hari raya lenyap apabila rumah pusaka ini musnah sekelip mata,” tambahnya. – K! ONLINE











