KUALA LUMPUR – Tiga remaja parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain di Kilometer 13 Jalan Bau Serikin, Sarawak di sini tengah malam semalam.
Menurut portal berita Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, kemalangan itu berlaku sekitar pukul 12.05 tengah malam membabitkan mangsa yang berusia antara 16 hingga 20 tahun.
Menurutnya, dua mangsa terlibat mengalami cedera parah di beberapa bahagian anggota badan dibawa ke Hospital Bau sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak, manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.
“Kemalangan ini melibatkan tiga motosikal yang dipercayai ditunggang dengan laju dan bertembung sesama sendiri.
“Hasil Siasatan awal di tempat kejadian mendapati keadaan jalan agak gelap serta tiada lampu jalan. Keadaan tempat kemalangan pula didapati ketiga-tiga motosikal yang terlibat berselerak di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut , Poge memberitahu, walau bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan dan sampel darah ketiga-tiga mangsa diambil untuk dianalisa di Jabatan Kimia Kuching untuk siasatan lanjut.
“Kes di siasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











