62 warga asing tinggal melebihi tempoh ditahan - Utusan Malaysia

62 warga asing tinggal melebihi tempoh ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Warga Asing yang diadakan di beberapa lokasi di sekitar ibu negara pada 31 Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi dilakukan pada pukul 9 malam hingga 7 pagi keeseokan harinya dengan kekuatan seramai 177 orang pegawai serta anggota polis Kuala Lumpur bersama lima pegawai kanan dan anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia.

“Operasi telah dijalankan di sekitar kawasan Changkat Bukit Bintang, Endah Promenade Sri Petaling, Apartment Connaught, Cheras, Jalan Danau Niaga, Setapak, Metro Prima Kepong dan Kepong Baru di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seramai 136 warga asing telah diperiksa dalam operasi ini dan daripada jumlah tersebut seramai 62 pati telah ditahan termasuk 13 individu warga Afrika,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, mereka yang ditahan terdiri daripada warga asing daripada pelbagai negara seperti 14 individu warga Bangladesh, 13 warga Myanmar, sembilan warga India, dua warga Uganda dan masing-masing enam warga Somalia serta Thailand juga seorang dari Kenya dan Laos.

“Kesemua tahanan yang terdiri daripada 48 lelaki serta 14 wanita telah didapati masuk serta tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan telah dibawa ke lokap Cheras dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan ke atas semua tahanan seterusnya diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” tegas beliau.

Tambah Mazlan, pihaknya memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah di negara ini dan operasi seumpama ini akan diteruskan di masa hadapan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,’ katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini