GURUN – Kegembiraan enam sekeluarga untuk pulang berhari raya berakhir duka apabila mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 81.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish dinaiki keluarga tersebut terbabas dan merempuh penghadang besi jalan.
Nahas mengakibatkan Azli Jaafar, 54, yang duduk di tempat penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri dan empat anaknya cedera.
Kereta dipandu anak lelaki mangsa, Muhammad Asyraf, 28, yang merupakan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Keluarga terbabit dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Anak Bukit, Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV itu terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri lebuh raya.
“Kita percaya kenderaan itu dipandu dalam keadaan mengantuk dan laju sehingga hilang kawalan dan terbabas di tempat kejadian.
“Impak kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa yang merupakan penumpang hadapan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan dalaman badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, isteri mangsa, Norpishah Ahmad, 54, dan empat anak mangsa berusia antara 20 hingga 28 tahun cedera dan kesemua mereka mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
“Mayat mangsa maut dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K! ONLINE











