KUALA LANGAT – Malam-akhir Ramadan sepatutnya diisi dengan aktiviti keagamaan, tetapi lain pula perbuatan sekumpulan remaja, apabila mereka sanggup memperjudikan nyawa berlumba haram dan sebahagian lagi rela bersengkang mata untuk menjadi penonton.
Natijahnya, ketika kumpulan remaja tersebut sedang leka berlumba dan menyaksikan perlumbaan haram kira-kira pukul 2 pagi di sepanjang Jalan Banting Baru yang dijadikan ‘litar’, mereka diserbu sepasukan polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Akibatnya, 35 remaja dengan paling muda berusia 14 tahun diperiksa dan seterusnya menyaksikan 26 saman atas pelbagai kesalahan direkodkan, manakala lima motosikal yang digunakan dalam perlumbaan haram tersebut turut disita.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, polis sememangnya memberi perhatian khusus mengenai aktiviti lumba haram pada setiap malam minggu khususnya di Jalan Banting Baru.
“Lokasi ini (Jalan Banting Baru) selalu dijadikan litar pada malam minggu dan mereka ini dikesan berlumba dalam jarak 0.5 kilometer.
“Kita percaya aktiviti lumba haram ini melibatkan pertaruhan serta ganjaran tertentu tetapi buat masa ini perkara tersebut masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azizan dalam pada itu berkata, lima motosikal yang disita itu adalah dari jenis Modenas Kriss serta Yamaha SS dan Lagenda.
“Kesalahan dilakukan termasuk tiada cermin sisi, tidak memakai topi keledar, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai, manakala motosikal yang disita pula didapati cukai jalan tamat tempoh,” katanya. -UTUSAN ONLINE











