Berikutan peningkatan jumlah kematian sedemikian industri pembersihan rumah si mati turut berkembang malah terdapat lebih 4,000 syarikat yang beroperasi menawarkan perkhidmatan sedemikian.
Syarikat insurans mula menjual polisi insurans bagi melindungi tuan rumah jika penyewa meninggal dunia dalam rumah mereka.
Polisi itu meliputi kos pembersihan rumah dan ganti rugi kehilangan sewa rumah tetapi ada yang turut membuat bayaran tambahan bagi mengadakan `upacara penyucian’ di rumah terbabit.
Kata seorang pemilik agensi pembersihan itu, Yoshinori Ishimi jumlah sebenar kematian sepi ini dianggarkan lebih tiga kali ganda daripada jumlah yang dipaparkan media.
Masatomi Yakoo yang turut mengendalikan perkhidmatan sama berkata, selepas bertahun-tahun dalam industri itu, dia mendapati kes melibatkan Kodokushi semakin bertambah.
Seorang tuan rumah sebuah pangsapuri di Kawasaki, Selatan Tokyo yang tidak memiliki polisi insurans itu terpaksa membayar 2,250 yen (RM8,484) kepada syarikat pembersihan, Next, yang dimiliki Akira Fujita untuk membersihkan pangsapuri terbabit bagi membolehkan ia disewa semula.
Penyewanya, Hiroaki, 54, sudah beberapa bulan tidak membayar sewa rumah justeru seorang wakil daripada syarikat pengurusan hartanah telah berkunjung ke rumah berkenaan. Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, dia melihat Hiroaki terbaring tidak bernyawa di atas tilam dipercayai telah meninggal dunia sejak empat bulan lalu memandangkan mayatnya, tilam dan lantai rumah kelihatan kering.
Walaupun terdapat banyak lalat dan berengga, bau busuk daripada mayat seolah-olah tidak menganggu jiran atau pemilik kedai di bawah pangsapuri terbabit.
Fujita dipanggil untuk membersihkan rumah itu dan perkara pertama dilakukan oleh empat kakitangannya yang lengkap dengan pakaian perlindungan ialah membuang tilam yang dipenuhi berengga.
Mereka melakukan tugas dengan tekun, tanpa merungut tentang kekotoran dan bau busuk yang menyengat hidung.
Pangsapuri berukuran 18.6 meter persegi itu dipenuhi dengan sampah, daripada mangkuk mi, botol minuman ringan, tin kopi kosong, puntung rokok, berpuluh-puluh pemetik api, akhbar lama dan baju bersepah, melambangkan kesepian dialami oleh si mati.
Berpuluh-puluh beg plastik digunakan untuk mengisi sampah itu manakala bil-bil utiliti dan akhbar yang dipenuhi air mayat yang telah kering masih terlekat di lantai.
Seorang kakitangan menggunakan penyodok sampah untuk menarik keluar bil itu, mereka kemudian mencuci bilik air yang dipenuhi lumut hitam, dapur dan pintu, mengoyak kertas dinding dan menyental lantai menggunakan pencuci pembasmi kuman.
Kesemua barangan milik Hiroaki disumbat dalam beg plastik dan dibuang selepas mendapati si mati tidak mempunyai waris manakala mesin pewangi ditinggalkan beberapa hari dalam rumah untuk menghilangkan bau busuk. Beberapa dokumen yang ditemukan menunjukkan Hiroaki telah bercerai dan pernah bertugas sebagai jurutera sistem selama 20 tahun termasuk di syarikat besar Nissan dan Fujitsu.
Miyu Kojima, yang bertugas di syarikat pembersihan ToDo berkata, lazimnya selepas selesai kerja pembersihan mereka akan melakukan upacara akhir meletakkan bunga, membakar kayu setanggi dan membaca doa.
Barangan peninggalan si mati akan diberi kepada ahli keluarga namun jika mereka menolak, ToDo akan membawanya ke sebuah kuil dan akan diadakan upacara khas sebelum dibakar.
Kodokushi atau kematian sepi merujuk kepada fenomena penduduk Jepun yang meninggal dunia seorang diri dan mayat mereka hanya ditemukan selepas beberapa hari.
Kodokushi merupakan masalah yang semakin serius terutama dengan jumlah penduduk yang hampir 30 peratus atau enam juta berusia lebih 65 tahun tinggal bersendirian.
Kebanyakan mereka sudah berputus asa untuk mencari teman hidup semasa usia pertengahan dan memilih untuk hidup bersendirian.
Berdasarkan kajian, seorang daripada empat lelaki Jepun yang berusia 50 tahun didapati tidak pernah berkahwin dan dijangka menjelang 2030 nisbahnya meningkat kepada seorang dalam tiga lelaki.
Terikat dengan budaya, warga emas Jepun sentiasa menjaga adab dan takut untuk menganggu jiran walaupun untuk mendapatkan bantuan dalam keadaan terdesak justeru mereka kurang berinteraksi dan terpinggir.
Tiada angka rasmi tentang jumlah kematian ini tetapi dianggarkan lebih 30,000 orang mati bersendirian setiap tahun namun menurut laporan media Jepun, kira-kira 45,000 penduduk meninggal dunia `seorang diri, tanpa disedari dan tidak ditangisi’ pada 2017.











