Kakitangan 7-Eleven Jejawi ambil inisiatif sendiri beri sumbangan pada pesakit - Utusan Malaysia

Kakitangan 7-Eleven Jejawi ambil inisiatif sendiri beri sumbangan pada pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Sekumpulan kakitangankedai serbaneka 24 jam 7-Eleven cawangan Jejawi melakukan usaha terpuji apabila mengambil inisiatif sendiri memberi bantuan kepada pesakit di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Program disertai enam kakitangan 7- Eleven dengan kerjasama Persatuan Kumpulan Sokongan Kanser negeri dan sukarelawan bebas itu diadakan sempena bulan Ramadan penuh keberkatan ini, seterusnya memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan mereka bagi membantu sesama insan.

Apa yang menarik, kakitangan tersebut mengambil inisiatif sendiri mengutip derma dari para pelanggan yang ingin membantu sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan di kedai serbaneka itu seterusnya digunakan bagi mengagihkan sumbangan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua kumpulan berkenaan, Mohd Noor Azizan Ibrahim yang juga Pengurus 7-Eleven cawangan Jejawi berkata, sebanyak 150 pek berbentuk makanan serta minuman diagihkan kepada para pesakit di wad kanak-kanak dan kelas tiga HTF.

Katanya, sumbangan tersebut adalah hasil daripada wang yang dikumpul sebanyak RM2,300 dalam tempoh hampir sebulan.

“Kami gembira dapat membantu kumpulan sasar ini (pesakit) seterusnya memberi keceriaan kepada mereka menyambut Ramadan dan Syawal selain dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan pihak swasta, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Salah seorang kakitangan 7-Eleven cawangan jejawi, Nurul Nabila Husin menyampaikan sumbangan kepada pesakit dalam satu majlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis semalam.

“Program ini adalah perintis dan kita berharap ia dapat diteruskan pada masa-masa akan datang sekali gus memberi peluang kepada pelanggan 7-Eleven untuk menderma dan membantu masyarakat,” katanya.

Tambahnya, program yang diadakan itu diharap dapat memberi ruang kepada semua pihak yang terlibat agar menginsafi nikmat kesihatan yang diberikan oleh Allah SWT.

“Sememangnya program ini mendapat sokongan daripada pihak syarikat selain menggalakkan ia diadakan pada masa-masa akan datang.

“Sebelum ini, belum pernah ada mana-mana cawangan 7-Eleven di Perlis yang melaksanakan program seperti ini. Kami di 7-Eleven Jejawi mengorak langkah sebagai perintis,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×