Lelaki warga Indonesia dituduh terlibat aktiviti IS - Utusan Malaysia

Lelaki warga Indonesia dituduh terlibat aktiviti IS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Indonesia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan aktiviti keganasan kumpulan Islamic State (IS) Mei lalu. 

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Amru Lubis, 49, selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa bersetuju untuk memberikan latihan dalam penyediaan bahan letupan kepada ahli kumpulan whatsapp “sejati sejiwa” dalam persediaan untuk melakukan suatu perbuatan mengganas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 130F (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara 30 tahun atau denda.

Mengikut pertuduhan kedua, dia yang sudah lebih setahun menetap di negara ini didakwa memiliki item-item berkaitan kumpulan pengganas IS didalam telefon bimbit jenama Oppo miliknya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan SM2, Taman Subang Mas di sini pukul 6.12 petang, 7 Mei lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membolehkan dia dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Izhanudin Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kerana kesalahan-kesalahan itu tidak dibenarkan untuk dijamin.

Hakim kemudian menetapkan 29 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini