KUALA LUMPUR 29 Mei – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa semua pemandu termasuk perkhidmatan e-hailing dan teksi mendaftar serta mencarum Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) yang bakal diperluaskan kerajaan tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat ini hanya 14,500 daripada 200,000 pemandu teksi dan e-hailing mendaftar sistem tersebut.
Katanya, pemandu yang didapati bersalah dan enggan mendaftar bakal dikenakan kompaun antara RM500 sehingga RM4,000 bergantung kepada kesalahan dan jangka masa ia dilakukan.
“Mereka perlu daftar selewat-lewatnya penghujung Jun. Perlaksanaan ini demi menjaga kebajikan mereka dan dalam masa yang sama akan melakukan ‘enforcement’ ( penguatkuasaan)
“Kita mahu beri kesedaran dan kalau boleh mahu mengelakkan daripada mengambil tindakan. Apa yang penting adalah masa depan mereka dan keluarga akan lebih terjamin nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Iftar Perkeso di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran; Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Amir Omar dan Pengerusi Perkeso, Zakri Mohd. Khir.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata, SPS yang diwujudkan Perkeso bakal diperluaskan kepada pelbagai sektor pekerjaan tidak formal termasuk petani, nelayan, penjaja dan penggiat seni.
Menurutnya , pengenalan skim tersebut dapat memastikan semua golongan pekerjaan mendapat perlindungan sewajarnya jika berlaku kemalangan.- UTUSAN ONLINE











