SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya masyarakat Melayu terutama di negeri ini bersatu-padu dan memeliharanya demi masa depan generasi orang Melayu.
Sultan Sharafuddin bertitah, perpecahan orang Melayu dilihat begitu teruk sekali terutama wujudnya banyak kumpulan yang kononnya berjuang atas dasar kepentingan orang Melayu sehingga sanggup menconteng arang semasa sendiri.
Titah baginda, gejala pepecahan ini bertambah buruk apabila segelintir pemimpin Melayu sendiri melemparkan cercaan dan sindiran terhadap bangsanya sendiri secara terbuka tanpa sekatan dan segan silu.
“Kita perlu ingat bahawa apabila orang Melayu berpecah-belah dan hidup di dalam keadaan porak-peranda, akan ada pihak-pihak lain yang mendapat keuntungannya.
“Adakah kita mahu melihat satu hari nanti orang Melayu hidup merempat dan menjadi hamba di tanah air tempat tumpah darah kita sendiri?
“Bila beta bercakap tentang orang Melayu supaya bersatu tidak bermakna beta seorang rasis. Beta sebagai raja negeri Selangor ini bertanggungjawab dan diamanahkan untuk memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat beta terutama kepada majoriti rakyat berketurunan Melayu yang beragama Islam,” titah baginda selepas merasmikan Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan dukacita kerana masyarakat Melayu ini merupakan penganut agama Islam yang sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka serta memaafkan antara satu sama lain.
Bagaimanapun, titah baginda, semua nilai-nilai murni dianjurkan oleh agama Islam itu tidak diamalkan termasuk dalam kalangan pemimpin Melayu.
“Justeru, beta menyeru semua rakyat Selangor berketurunan Melayu agar bersatu-padu dan mengenepikan segala perbalahan.
“Pemimpin-pemimpin Melayu pula tidak kira dari kumpulan mana agar menghentikan segala budaya politik retorik dan berhenti melabelkan orang Melayu dengan pelbagai kecaman negatif yang boleh menguris hati,” titahnya.
Terdahulu pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat korporat berjumlah RM9.8juta.
Selain itu, 289 individu termasuk golongan asnaf, miskin dan mualaf menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang melibatkan jumlah zakat sebanyak RM198,000. – K! ONLINE











