KUALA LUMPUR 29 Mei – Sebanyak 16 warganegara China termasuk dua wanita ditahan kerana terlibat sindiket judi dalam talian di sebuah banglo tiga tingkat di Taman Len Sen, Cheras, di sini kelmarin.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Rohazah Alwi berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kira-kira pukul 11.30 malam.
“Sindiket berkenaan dikesan beroperasi sebagai ‘calling center’ dan memberi fokus untuk judi dalam talian warga China sejak dua hari lalu.
“Kesemua warga China berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun itu juga mengaku menjalankan aktiviti pertaruhan dan promosi judi dalam talian dengan menggunakan aplikasi WeChat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Rohazah, siasatan juga mendapati suspek terlibat diupah dengan bayaran RM3,000 sebulan dan bekerja sejak pukul 12 tengah hari hingga tengah malam setiap hari.
Jelasnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas pelbagai barangan antaranya dua buah set komputer, 19 buah unit telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM30,000.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953. – UTUSAN ONLINE











