Apa sebenarnya berlaku kes Adib, rakyat ingin tahu - Shamsul Anuar - Utusan Malaysia

Apa sebenarnya berlaku kes Adib, rakyat ingin tahu – Shamsul Anuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mei – Kerajaan mesti memastikan wujud keadilan dan ketelusan dalam perbicaraan kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh dalam rusuhan ketika menjalankan tugas di Kuil Sri Mariamman, Seafield, akhir tahun lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, keadilan perlu dinampakkan (justice is served) kerana sebarang campur tangan mana-mana pihak dalam prosiding adalah bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang negara.

“Ini sangat tidak baik kepada negara. (Sebab itu) kita menyokong tindakan blok pembangkang yang menuntut supaya Perdana Menteri memecat Peguam Negara dan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ( RCI ).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini serius dan tepat kerana dilihat wujud elemen tidak percaya kepada prosiding inkues Muhammad Adib disebabkan berlaku banyak tindakan campur tangan yang meragukan,” kata beliau dalam kenyataan kepada Utusan Online hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, dalam usaha menjaga imej Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kedaulatan dan keluhuran undang undang, proses perbicaraan mestilah dilihat bersih dari campur tangan mana mana pihak.

Ia, kata beliau, penting demi ketelusan selain menjaga integriti pengamal undang-undang itu sendiri.

Kata beliau: “Rakyat Malaysia sedang teliti memerhatikan perjalanan butiran kes Muhammad Adib ini kerana ia melibatkan kematian seorang penjawat awam ketika bertugas.

“Dan apabila wujud percanggahan antara perakuan pihak polis dengan pejabat Peguam Negara, rakyat ingin tahu apakah yang sebenarnya berlaku.”

Sehubungan itu, kata Shamsul Anuar, maka adalah tepat desakan dibuat supaya kes berkenaan dikendalikan menerusi RCI.

“Semua ini demi keadilan dan ketelusan pengadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib serta menjaga keutuhan sistem perundangan dalam negara ini,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini