Rumah, persiapan raya tujuh sekeluarga musnah terbakar - Utusan Malaysia

Rumah, persiapan raya tujuh sekeluarga musnah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Hasrat tujuh sekeluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kelantan minggu depan terkubur selepas semua kelengkapan raya dan kediaman mereka di Taman Bachang Utama dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kesemua ahli keluarga tersebut sempat menyelamatkan diri masing-masing dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Nursamihah Yunos, 46, ketika kejadian dia bersama suaminya berada di dalam bilik utama di tingkat dua rumah berkenaan dan kebakaran hanya disedari selepas terhidu bau asap sebelum bekalan elektrik terputus.

“Selepas saya buka pintu, keadaan rumah sangat gelap dan asap tebal dari bilik belakang terus memasuki rongga hidung. Saya kemudian mendengar suara lima orang anak menjerit-jerit di tingkat bawah sebelum bergegas memastikan kesemua mereka selamat dan keluar dari rumah.

“Saya sepatutnya pulang ke kampung halaman di Kelantan pada pukul 1.30 petang tadi bersama dua orang anak tetapi insiden ini pula berlaku, malah semua persiapan raya kami juga musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

kebakaran
Wang tabung berjumlah RM6,000 turut terbakar dalam kebakaran tersebut.

Katanya, mengikut perancangan awal, suaminya bersama tiga lagi anak akan menyusul pulang ke Kelantan pada Isnin depan untuk bersama-sama meraikan Hari Raya.

“Nampaknya hasrat kami untuk beraya di sana terpaksa dilupakan kerana perlu menguruskan hal berkaitan kos kerugian dengan anggaran kira-kira RM250,000.

“Bagaimanapun, anak perempuan kedua saya yang berusia 19 tahun paling terkesan kerana wang tabungnya sebanyak RM6,000 yang disimpan di dalam beg turut terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.36 pagi dan sepasukan 14 anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi

“Setiba di lokasi kita mendapati terdapat sebuah rumah teres dua tingkat terbakar dengan bahagian atas rumah telah hangus kira-kira 70 peratus.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian. Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×