KUALA LUMPUR 29 Mei – Perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjejaskan volum pengangkutan global dengan penurunan 4.7 peratus tahun ke tahun pada April 2019, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, rantau Asia Pasifik yang merangkumi 35.4 peratus daripada pasaran pengangkutan udara dunia menyaksikan kejatuhan terbesar sebanyak 7.4 peratus tahun ke tahun diikuti Eropah dan Asia Barat dengan penurunan 6.2 peratus.
“Kami mengalami peningkatan kukuh tetapi tiada peningkatan permintaan bagi penyambungan udara pada April. Ini sebahagiannya disebabkan oleh sambutan Easter tetapi turut mencerminkan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.
“Ia juga didorong oleh tarif dan pertikaian perdagangan, memandangkan perdagangan global jatuh dan kesannya, kita tidak dapat menyaksikan pertumbuhan yang sama seperti tahun lalu. Bagaimanapun, syarikat penerbangan telah melaksanakan tugas yang baik dalam menguruskan penggunaan pesawat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengangkutan udara bagi rantau Asia Pasifik menyaksikan peningkatan 2.9 peratus pada April, meningkat dua peratus berbanding bulan sebelumnya. Tetapi jumlah itu masih di bawah purata tempoh sederhana.
Kapasiti pula meningkat 3.7 peratus dan faktor muatan jatuh 0.6 peratus kepada 80.8 peratus.
Ini menjadikan Asia Pasifik merupakan satu-satunya rantau yang mengalami penurunan faktor muatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut IATA, keadaan itu sebahagian besarnya disebabkan perdagangan global yang perlahan termasuk ketegangan AS-China dalam rantau yang lebih luas sekali gus memberi kesan kepada permintaan penumpang. – UTUSAN ONLINE











