Kebakaran rumah jejas persiapan Aidilfitri tujuh sekeluarga - Utusan Malaysia

Kebakaran rumah jejas persiapan Aidilfitri tujuh sekeluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 29 Mei – Tujuh sekeluarga berputih mata apabila semua persiapan untuk dibawa pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman di Kelantan musnah dalam kebakaran di Taman Bachang Utama di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, semua ahli keluarga itu bagaimanapun bernasib baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri masing-masing.

Salah seorang mangsa, Nursamihah Yunos, 46, berkata, dia dan suaminya berada di dalam bilik utama di tingkat dua rumah berkenaan semasa kejadian dan hanya menyedari kebakaran itu selepas terhidu bau asap sebelum bekalan elektrik terputus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, keadaan rumahnya sangat gelap dan dipenuhi asap tebal pada masa itu sebelum berlari menyelamatkan diri keluar dari rumah berkenaan bersama-sama lima anaknya yang berada di tingkat bawah.

“Sepatutnya saya bersama dua anak pulang ke kampung Kelantan pukul 1.30 petang ini tetapi ditakdirkan rumah terbakar malah semua persiapan raya kami termasuk baju, kasut dan serta barangan lain hangus dijilat api,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Kamarulzaman Mohd. Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.36 pagi sebelum menggerakkan sepasukan 14 anggota dan sebuah jentera ke lokasi.

“Setiba di lokasi kita mendapati terdapat sebuah rumah teres dua tingkat terbakar dengan bahagian atas rumah telah hangus kira-kira 70 peratus dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian.

“Pasukan forensik sedang menyiasat punca berlakunya kebakaran dan insiden ini tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini