MELAKA 29 Mei – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadakan sesi dialog bersama pengguna bagi menyelesaikan isu kenaikan bil elektrik sejak penggunaan meter pintar di negeri ini.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad berkata, pihaknya menerima apa juga cadangan daripada orang ramai termasuk sesi dialog walaupun Hari Bersama Pelanggan telah diadakan sejak semalam sehingga Jumaat ini.
Menurutnya, sesi dialog itu bagaimanapun mungkin akan diadakan serentak dengan Hari Bersama Pelanggan yang dirancang untuk diadakan lagi selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Melihat kepada sambutan pengguna, kita merancang mengadakan Hari Bersama Pelanggan ini secara berterusan namun kaedah dan lokasinya mungkin berbeza.
“Kita rancang untuk adalah sesi bersama pengguna dan mungkin sesi dialog turut akan diadakan pada masa tersebut bergantung kepada situasi,” katanya ketika ditemui di TNB Banda Kaba, di sini sebentar tadi.
Jelas Ahmad Rezahan, pihaknya juga menerima beberapa permintaan daripada pemimpin kawasan untuk mengadakan Hari Bersama Pelanggan TNB di kawasan mereka.
“TNB mengamalkan dasar terbuka dan sentiasa menerima apa-apa maklum balas daripada semua pengguna malah bersedia untuk mengadakannya di tempat lain mengikut permintaan pelanggan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











