KUALA LUMPUR 29 Mei – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam mempertahankan “statement” rasis Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik amat mengecewakan.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kenyataan rasis menteri berkenaan adalah salah dan janggal sebagai seorang menteri kerana beliau dipertanggunganjawapkan dengan pembangunan sektor pendidikan negara.
“Adalah jelas Tun Mahathir gagal memahami punca sebenar yang membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Maszlee dan menteri-menteri dari DAP gagal menyampaikan sentimen sebenar rakyat khususnya mereka yang tidak mahu sektor pendidikan terus dikompromi dan dikorbankan demi agenda politik kepartian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, alasan Maszlee untuk menaikkan kuota matrikulasi dari jumlah 25,000 kepada 40,000 dengan justifikasi sektor pekerjaan swasta mempersyaratkan keperluan bahasa Cina sebagai syarat mendapat pekerjaan ada salah dan tiada kena mengena dengan membantu pelajar bumiputera dalam pendidikan.
Sebaliknya, kata beliau, dengan mengkhususkan 40,000 tempat dari 42,000 tempat untuk kemasukan ke universiti awam secara pintu masuk belakang atau “backdoor entry” akan menjatuhkan prestasi universiti-universiti tempatan dalam jangka masa panjang di mana pelajar-pelajar “backdoor entry” ini yang merangkumi 40,000 daripada 42,000 jumlah pelajar ini akan menjadi “racun” yang membantut prestasi dan kecermelangan universiti yang menerima pelajar kurang saing dan kurang cemerlang melalui quota atau “backdoor entry”.
“Akhirnya mutu dan prestasi universiti-universiti tempatan ini yang akan dikorbankan dengan kemasukan pelajar “backdoor” yang merangkumi 40,000 daripada 42,000 pelajar,” katanya.
Pengkhususan 25,000 daripada 42,000 tempat untuk pelajar matrikulasi, katanya, sudahlah seimbang dengan demografi kependudukan Melayu dalam negara yakni lebih kurang 60 peratus.
“Inilah keseimbangan yang diputuskan oleh kerajaan Barisan Nasionla (BN) sebelum ini untuk memberi 40 peratus atau 17,000 tempat untuk kemasukan pelajar selain dari matrikulasi atau untuk menggalakkan suasana saingan yang sehat dan seterusnya mermatabakan Melayu yang berkeupayaan yang memilih untuk bersaing dan menolak “tongkat” , bantuan atau “backdoor”,” katanya.
Selain daripada kuota 25,000 matrikulasi, jelas beliau, kerajaan juga membantu pelajar Melayu melalui Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mempunyai ratusan ribu graduan dan sebagainya.
“Maka tidaklah terdesak sehingga Melayu perlu diberi “tongkat” dan “backdoor” sampai lebih kurang 90 peratus daripada 42,000 tempat universiti awam,” katanya.
Sebenarnya keputusan jemaah Menteri Pakatan Harapan, kata Lian Ker, cuma untuk menunjukkan kerajaan Pakatan adalah juara atau “champion” pelajar bumiputra tetapi sebaliknya ia adalah racun yang akan membantut perkembangan dan pembangunan prestasi universiti tempatan dengan kompromi dan pengorbanan ini.
Tambahan pula, kata beliau, graduan-graduan tempatan Melayu akan dipandang serong dan hina dengan anggapan kesemua mereka adalah graduan yang bergantung pada tongkat atau “backdoor entry”.
“Maszlee tidak wajar mengaitkan syarat keperluan bahasa Mandarin sebagai alasan keputusan ini kerana kemasukan ke universiti dan pemohonan kerja adalah dua isu yang berbeza dan tiada hubungkait.
“Sebenarnya isu syarat bahasa ini boleh ditangani dan diselesaikan melalui kuota pekerjaan bagi bumiputera dan bukannya mempolitikannya dengan monopoli kemasukan universiti awam yang boleh merodakkan atau menjatuhkan kedua-dua prestasi universiti dan “maruah” graduan Melayu nanti,” katanya.
Katanya, amat tidak bertanggungjawab bagi Maszlee untuk membuat kenyataan berbau perkauman demi untuk menarik sokongan Melayu atas agenda politik Pakatan Harapan untuk berkuasa terus.
“Menteri tidak harus menyalahkan kaum bukan Melayu sebagai punca pengangguran di kalangan Melayu, dan membawa risiko menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional dengan menanam serta memupuk prasangka perkauman.
“MCA khuatir bahawa penambahan tempat matrikulasi dari 25,000 kepada 40,000 bakal menjejaskan prestasi institusi universiti awam. MCA bimbang bahawa tindakan kerajaan Pakatan Harapan ini akan menghalang lebih ramai pelajar lulusan STPM yang berkelayakan untuk masuk ke universiti-universiti awam,” jelas Lian Ker.
Tambah beliau, penambahan tempat matrikulasi dibuat secara terburu-buru, dan hanya bertujuan politik dan naratif perkauman untuk menjadikan BERSATU lebih Melayu dari UMNO.
Inilah, kata beliau, yang menyebabkan menteri-menteri DAP bersetuju dalam jemaah menteri dan matlamat politik serta pengorbanan universiti awam demi agenda politik perkauman adalah salah dan tidak bertangungjawab.
Keputusan penting sebegini dibuat tanpa kajian menyeluruh, dan tidak mampan dan bakal mewujudkan lebih banyak masalah dalam tempoh jangka masa panjang. Akhirnya Pakatan Harapan menang tetapi pembangunan pendidikan menjadi korban.
“Oleh itu, kami menggesa Tun Dr Mahathir supaya membetulkan keadaan. Janganlah mengaitkan semua masalah Pakatan dengan isu perkauman dalam usaha menyelamatkan diri, atau untuk mengalih perhatian rakyat.
“MCA akan sentiasa menjaga hak dan kepentingan semua rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk bantuan pada Melayu dan bumiputera secara jitu dan sehat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











