KUALA LUMPUR – Pengurus Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA), Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar mengesahkan akan bertanding untuk mengisi kekosongan satu jawatan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2019-2021 pada Kongres Tahunan FAM ke-55 yang bakal berlangsung 13 Julai depan.
Kamarul merupakan salah seorang daripada enam nama yang dicalonkan termasuk Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Khamal Idris Ali, Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah, Exco Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar, Exco Persatuan Bola Sepak Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor dan Timbalan Presiden 2 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Marzuki Sulong.
Kamarul Ariffin berkata, beliau akan menyerahkan borang setuju terima pencalonannya dalam masa terdekat selepas sekretariat FAM memaklumkan bahawa pencalonannya telah diterima ahli-ahli gabungan bagi merebut kekosongan jawatan Exco FAM yang ditinggalkan bekas pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh.
“Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada ahli gabungan FAM di atas pencalonan ini dan hari ini (kelmarin) saya mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan tersebut.
“Saya harap dapat menyumbang sesuatu kepada bola sepak Malaysia untuk merealisasikan perancangan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam F:30 mengenai pemain Naturalisasi dan Malaysia layak pada pusingan akhir Piala Asia 2020 nanti,” jelasnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa PDRM FA, semalam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persaingannya dengan calon lain, Kamarul Ariffin memberitahu mereka semua akan memastikan pertandingan ini berlangsung dalam suasana yang sihat kerana kesemua mereka adalah merupakan rakan seperjuangan dalam sukan bola sepak tempatan.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada ahli gabungan untuk membuat pilihan dan sudah pasti kami akan bertanding secara sihat kerana kami semua adalah rakan seperjuangan dalam arena bola sepak tempatan,” tambahnya. – K! ONLINE











